D'mart

PENGENALAN D'MART

Pada awalnya, FELDA menubuhkan Bahagian Kedai-Kedai Felda pada tahun 1968 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 Seksyen 42 di 3 lokasi awal iaitu Sungai Buaya, Gedangsa dan Sungai Klah dengan tujuan untuk membekalkan barang-barang keperluan asas kepada peneroka. Ini kerana pada masa itu, para peneroka sukar untuk mendapatkan barangan runcit kerana berada di kawasan pendalaman yang jauh dari bandar.

Pada tahun 1972, Bahagian Kedai-Kedai Felda diperbadankan dengan nama Perbadanan Kedai Felda (PKF) dan ditukarkan kepada Perbadanan Niaga Felda (PNF) pada tahun sama.

Manakala pada tahun 1995, PNF disyarikatkan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan nama Felda Trading Sdn Bhd (FTSB).
Seterusnya, nama kedai yang sebelumnya dikenali sebagai Kedai Felda telah diberikan imej baru dengan menukar nama serta logo kepada D’Mart. Semenjak itu, D’Mart sentiasa dekat di hati para peneroka FELDA kerana menjadi medium bagi mendapatkan barangan runcit dengan harga yang berpatutan.

Pada tahun 2007, FTSB kemudiannya diambil alih oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan ditukar nama kepada KPF Trading Sdn Bhd (KPF Trading). Seterusnya pada tahun 2024, D’Mart di bawah pengurusan KPF Trading sekali lagi melalui fasa transformasi yang membawa kepada jalinan muafakat/usaha sama bersama Segi Fresh dengan terus mengekalkan nama D’Mart serta menjadi platform jualan untuk produk keluaran Kumpulan FELDA seperti Saji, Gula Prai, Slera, Fresha, Besa dan Sawari.

PENGENALAN SEGI FRESH

Segi Fresh diasaskan pada tahun 1994 dengan cawangan pertamanya dibuka di Selayang. Cawangan pertamanya ketika itu adalah berkonsepkan perniagaan borong komuniti.Bagi memastikan produk sayuran yang ditawarkan sentiasa segar dan berkualiti, pada 1997 Segi Fresh telah memperkenalkan cabang pertaniannya. Ini sekali gus membantu memutuskan rantaian orang tengah untuk menjamin harga yang lebih berpatutan kepada pelanggan.

Seterusnya pada tahun 2000, Segi Fresh mewujudkan pula cabang bekalan makanan lautnya dengan mengambil bekalan secara terus daripada sumber dalam negara dan luar negara. Ini juga termasuk dengan bekalan ayam serta daging dan ini merupakan semua adalah strategi Segi Fresh bagi mewujudkan satu rantaian integrasi bekalan yang komprehensif bagi memastikan kualiti dan harganya dapat dikawal.

Tidak cukup dengan itu, pada 2010 pula, Segi Fresh memperluaskan lagi integrasi bekalannya dengan mewujudkan cabang logistik bagi memastikan proses penghantaran setiap bakalan dapat diuruskan dengan tersusun seterusnya memastikan bekalan yang ditawarkan di setiap stor berada pada tahap kualiti yang baik.

Segi Fresh kemudian melakukan inovasi dalam strategi perniagaannya pada tahun 2012 dengan melakukan penjenamaan semula Pemborong Segi di Telok Panglima Garang kepada satu penanda aras baharu dengan menukarnya kepada Pasaraya Runcit yang lebih moden.

Perkembangan Segi Fresh tidak terhenti di situ, ia kemudiannya memasuki fasa baharu dalam model perniagaannya iaitu pada 2015 ia telah memperkenalkan pasaraya berkonsepkan komuniti yang menawarkan barangan runcit dan segar.
Model perniagaannya ternyata mendapat sambutan yang baik hingga Segi Fresh berjaya membuka cawangannya cawangan ke-50 di Pandamaran pada 2020 dan cawangan ke-100 di Ijok pada Disember 2023. Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh Segi Fresh sehingga ke hari ini adalah kerana sokongan yang tidak terhingga daripada para pelanggan setianya yang yakin dengan kualiti barangan yang ditawarkan selain harga yang berpatutan.

PENGENALAN D'MART SEGI FRESH

Tahun 2024 menyaksikan bahawa inisiatif usaha sama antara kedua-dua syarikat runcit berpengalaman ini telah melakar sejarah bergabung serta memberi satu lembaran baharu kepada pasaran runcit tempatan khususnya di semua tanah rancangan FELDA.

Usaha sama ini menggabungkan kepakaran kedua-dua pihak sekaligus memberi manfaat kepada pelanggannya dalam memastikan orang ramai mendapat barangan keperluan asas yang mudah didapati, berkualiti dan pada harga yang berpatutan.

Kini mempersembahkan wajah baru D’Mart yang telah dinaik taraf untuk memberi keselesaan kepada para pelanggan yang kini dikenali sebagai D’Mart Segi Fresh – Legasi Warisan Gemilang yang menawarkan perkhidmatan jualan barangan runcit dengan penambahan tawaran produk barangan keperluan asas seperti sayur-sayuran, ayam, daging serta makanan laut.
Selain itu juga, kami memperkenalkan integrasi perniagaan yang sistematik bagi memastikan barangan yang ditawarkan sentiasa segar dengan harga yang lebih rendah selari dengan permintaan dan keperluan penduduk setempat.

Di samping itu, akan wujud lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi peneroka dan anak-anak peneroka serta penduduk setempat bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang peruncitan serta berpeluang meningkatkan kemahiran dalam pembangunan kerjaya yang terjamin.

5 nilai teras utama D'Mart Segi Fresh

Kecemerlangan

Kerjasama Berpasukan

Kesungguhan

Penyelesaian Masalah

Integriti

Scroll to Top